Monday, September 28, 2009

Sukabumi ( Jawa Barat )digegarkan Gempa Bumi Berskala 5.5 Ritcher.

JAKARTA, 28 Sept :- Satu gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter menggegarkan Sukabumi, di Jawa Barat pada kira-kira pukul 7.26 pagi Isnin waktu tempatan.

Pusat gempa bumi itu terletak di latitud 8.17 darjah selatan, 107.23 darjah ke timur, kira-kira 143 kilometers tenggara Sukabumi, Jawa Barat, pada kedalaman 10 km bawah paras laut.

Agensi berita Antara memetik Pejabat Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebagai berkata kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan bencana tsunami.

Indonesia yang memiliki kepulauan terbanyak di dunia terletak di sekitar "Lingkaran Api" Pasifik yang sering terdedah kepada bencana gempa bumi.

Pada 2 Sept lepas gempa bumi 7.2 pada skala Richter menggegarkan Wilayah Jawa Barat dan merosakkan sekurang-kurangnya 3,199 rumah di bandar raya dan daerah Sukabumi.

Gempa bumi kuat itu jelas dirasakan di 16 daerah di Jawa Barat, mengakibatkan 73 orang maut dan lebih 700 orang tercedera.

-- BERNAMA

1 comment:

  1. Salam. Kita bersyukur kita tidak berhadapan dengan bencana sepertimana di Indonesia ini. Didoakan gempa bumi tersebut tidak banyak membawa kesusahan kpd rakyat negara jiran kita.

    ReplyDelete