Monday, September 28, 2009

Sukabumi ( Jawa Barat )digegarkan Gempa Bumi Berskala 5.5 Ritcher.

JAKARTA, 28 Sept :- Satu gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter menggegarkan Sukabumi, di Jawa Barat pada kira-kira pukul 7.26 pagi Isnin waktu tempatan.

Pusat gempa bumi itu terletak di latitud 8.17 darjah selatan, 107.23 darjah ke timur, kira-kira 143 kilometers tenggara Sukabumi, Jawa Barat, pada kedalaman 10 km bawah paras laut.

Agensi berita Antara memetik Pejabat Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebagai berkata kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan bencana tsunami.

Indonesia yang memiliki kepulauan terbanyak di dunia terletak di sekitar "Lingkaran Api" Pasifik yang sering terdedah kepada bencana gempa bumi.

Pada 2 Sept lepas gempa bumi 7.2 pada skala Richter menggegarkan Wilayah Jawa Barat dan merosakkan sekurang-kurangnya 3,199 rumah di bandar raya dan daerah Sukabumi.

Gempa bumi kuat itu jelas dirasakan di 16 daerah di Jawa Barat, mengakibatkan 73 orang maut dan lebih 700 orang tercedera.

-- BERNAMA

Sunday, September 27, 2009

PAS terdesak - PRK DUN Bagan Pinang

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

PAS mendakwa kemenangan calon BN di DUN Bagan Pinang dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu dikaitkan dengan undi pos. Jadi bagi mendapatkan undi pemilih pos di Bagan Pinang Pemuda PAS akan berhempas-pulas untuk menembusi kem tentera dan balai polis.
Mereka akan minta kebenaran daripada komandan kem untuk masuk berkempen dalam kem-kem tentara dan polis. Jika tidak boleh masuk ke dalam kem, mereka tetap akan berkempen walaupun di tepi pagar kem.

Suhaizan, yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendesak calon-calon parti bertanding, khususnya pembangkang, diberikan ruang berkempen di kawasan-kawasan tersebut.
Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih pos dan nombor siri kertas undi – dan penetapan tempat khusus bagi pembuangan undi secara pos.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad menyifatkan amalan itu bertujuan membuat pemeriksaan terhadap pengundi-pengundi pos yang pro-pakatan rakyat.

PAS mendakwa mempunyai penyokong-penyokong di kem tentera dan balai polis yang akan bertindak sebagai "mata-mata" parti itu untuk memantau kempen-kempen BN ketika pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Kalau PAS sudah ada orang dalam kem mengapa perlu bersusah payah hendak masuk dalam kem-kem tentera dan polis menjalankan kempen.

Gunalah penyokong-penyokong mereka yang ada dalam kem-kem berkenaan untuk menjalankan kempen mereka. Jadi kenapa hendak membesar-besarkan isu undi melalui pos sebab PAS sendiri mengaku yang mereka juga ada penyokong-penyokong di kalangan tentera dan polis.

Malah penyokong-penyokong tersebut dijadikan mata-mata PAS untuk memantau kegiatan atau kempen BN dalam kem-kem tentera dan polis. Apa yang PAS nak takut sangat........

Kalau dah hendak kalah macam-macam cari alasan. Kalau kawasan mereka boleh menang tidak pertikai langsung soal undi pos.

Tindakan PAS mempertikaikan pengundian melalui pos ini semata-mata hendak menarik perhatian dan simpati pengundi semata. Ini lah cara pembangkang menyerang BN dengan harapan pengundi akan hilang kepercayaan kepada kerajaan BN.

Tuesday, September 15, 2009

Undi pos dipertikaikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 3 Oktober depan manakala hari pengundian pula ditetapkan pada 11 Oktober 2009.

Namun, pembangkang telah melepaskan ‘serangan bom’ pertama berhubung dengan isu pengundi pos berjumlah 4,604 yang dituntut agar mengundi pada hari yang sama dengan pengundi berdaftar lainnya kerana mendakwa wujudnya penipuan dalam proses undian secara pos.

Semasa mengumumkan tarikh penamaan dan pengundian DUN Bagan Pinang, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang diajukan persoalan berkenaan menegaskan, pengundi pos yang berdaftar tetap akan melaksanakan tanggungjawab mereka seperti mana amalan biasa.

Ini bermakna SPR tetap akan meneruskan sistem undi pos dan tidak akan mengubah sistem itu seperti yang dituntut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Jika mereka semua keluar mengundi pada hari pengundian siapa pula hendak menjaga keamanan,” katanya.

Mengenai tuduhan kemungkinan berlakunya penipuan dalam amalan undi pos, Abdul Aziz berkata, “Mustahil boleh tipu dan tak mungkin ia boleh berlaku! Undi pos tidak boleh dibuat sesuka hati dan hanya yang layak boleh mengundi. Setiap undi pos mesti dilampirkan bersama borang pengesahan saksi. Malah setiap parti dijemput menghantar wakil mereka memerhatikan proses pengundian itu,” katanya.

Menjawab soalan wartawan pada sidang media di pejabatnya, Isnin, Aziz berkata kotak berisi undi pos itu juga dikunci dan dikawal rapi oleh pegawai-pegawai SPR dan polis dari tarikh pengundian sehinggalah tarikh pengiraan.

Apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ni....tak tahu atau sengaja buat tak tahu yang selama ini sudah lama sistem undi pos dibuat dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu dan juga apakah beliau tidak tahu tentang proses-proses bagaimana kawalan dibuat ke atas undi pos.

Ini semua strategi PAS kerana....... hendak meletakkan undi pos sebagai punca kekalahan PAS di DUN Bagan Pinang dan tidak akan mahu menerima hakikat yang pengundi DUN Bagan Pinang menolak pakatan pembangkang.

Tuesday, September 8, 2009

ADAKAH KEPIMPINAN PKR BERWIBAWA?

Kalau nak kira banyak janji yang ditabur menjelang pilihanraya umum Mac 2008 yang belum ditunai oleh kerajaan pakatan pembangkang Selangor.

Semua itu berjaya ditutup malah dikaburi oleh segala macam isu yang berbangkit dari masa ke semasa.Ini ditambah pula dengan siri ceramah diserata pelusuk yang gambarkan semuanya molek belaka.

Dalam kegairahan untuk memenuhi tuntutan nak jadi ‘kerajaan popular’ Tan Sri Khalid Ibrahim dan rakan-rakannya mungkin kurang sedar ada asas tertentu dalam realiti masyarakat berbilang kaum di negara ini yang tidak boleh diganggu gugat.

Malaysia bukan Amerika,Malaysia bukan United Kingdom apa lagi nak jadikan Malaysia macam Singapura.

Juga semangat populis pakatan pembangkang nampaknya kebelakangan ini membuatkan seolah semuanya merasa mereka berkuasa.

Semua ini dapat dilihat dengan jelas , dimana mereka mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok hingga ke bilik hotel iaitu di hotel Heritage, Ipoh di Perak walaupun mereka tidak lagi memerintah negeri Perak dan perbuatan ini boleh dilihat sebagai penderhakaan terbuka terhadap Sultan . Ini adalah tindakan yang tidak mengikut perundangan dan dilihat seolah-olah pembangkang cuba membelakangkan undang-undang dan ingin menunjukkan mereka itu berkuasa dan boleh lakukan apa sahaja.

Malah dalam Sidang DUN Perak yang dipanggil oleh Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar mengesahkan keputusan jawatankuasa hak dan kebebasan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker BN, Datuk R Ganesan and ADUN Bebas pro-BN, Hee Yit Foong.

Adakah tindakan seumpama ini betul dan mengikut perundangan?. Bayangkanlah jika pakatan pembangkang memerintah negara ini ....apa lagi akan mereka lakukan..sudah tentu lebih dasyat sedangkan semasa mereka tidak berkuasa pun sanggup mereka melanggar undang-undang dan menderhaka kepada Sultan apatah lagi jika mereka berkuasa.
Satu lagi yang jelas dapat kita lihat di mana pembangkang (PKR) telah mencetuskan dan menyemarakkan semangat perkauman antara kaum Melayu dan India di mana hendak memindahkan kuil di seksyen 19 ke seksyen 23. Walaupun telah mendapat bantahan dari penduduk Islam kawasan seksyen 23 , kerajaan Selangor di bawah PKR masih hendak membina kuil di Seksyen 23 juga di mana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan kerajaan Selangor telah memilih tapak baru yang terletak 100 meter dari tapak cadangan asal.
Jadi apa bezanya dengan tapak cadangan asal dengan yang baru...cuma 100 meter saja jarak dari tapak cadangan asal tapi masih dalam kawasan seksyen 23 juga. Apakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak nampak semua itu atau semata-mata hendak menjaga kepentingan kaum India dan menafikan hak orang Islam kawasan tersebut.

Wednesday, September 2, 2009

MENTERI BESAR KEDAH KECEWA.

Tak ada pilihanraya! Setelah bermesyuarat hampir sehari suntuk pada Selasa, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memutuskan kerusi DUN Kota Siputeh Kedah masih disandang oleh Datuk Abu Hasan Sarif yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu. Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusof, dalam kenyataan akhbarnya, berkata, setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan, di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, SPR memutuskan bahawa mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal persidangan.

Ekoran daripada keputusan tersebut Kerajaan Kedah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tidak berlaku kekosongan pada kerusi DUN itu hari Selasa. Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang dan Speaker Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan lanjut.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebaliknya perlu bertindak mengikut notis yang dikeluarkan Speaker Kedah.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan SPR itu tidak mengikut undang-undang kerana arahan mengosongkan DUN berlandaskan Perlembagaan Undang- undang Tubuh Negeri Kedah.

“SPR sepatutnya mengambil tindakan berdasarkan makluman Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bukannya membuat keputusan sendiri. Bila masa SPR boleh mentafsir?” katanya.

Walau apapun sekarang ni...biarlah mahkamah yang tentukan siapa yang betul...dan siapa yang salah. Kalau hendak persalahkan SPR seratus-peratus pun tak adil kerana kes ini merupakan kes pertama dalam sejarah politik negara ini.

Tuesday, September 1, 2009

PILIHANRAYA KECIL DUN KOTA SIPUTEH

Terbaru 3.30 petang: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah selesai bermesyurat membincangkan kedudukan ADUN Kota Siputeh Kedah. Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof ketika ditanya hasil mesyuarat berkenaan tetap memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan jam 4.30 petang berhubung dengan keputusan mesyuarat tersebut. Namun Agendadaily menjangkakan, pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh terpaksa diadakan kerana soal ADUN tidak hadir dua kali berturut-turut sidang DUN secara jelas dinyatakan dalam peraturan bahawa kedudukannya sebagai ADUN akan tergugur secara otomatik. - 1/9/2009

Terbaru 2.30 petang : Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR) yang bermesyuarat sejak jam 10.30 pagi Selesa membincangkan kedudukan ADUN Kota Siputeh, Kedah masih meneruskan perbincangan sehingga jam 2.30 petang ini. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semasa keluar sebentar dari bilik mesyuarat berkenaan memberitahu, mereka masih lagi membincangkan isu berkenaan terutamanya yang berkaitan dengan soal-soal teknikal dan perundangan. “Kita jangka akan keluarkan kenyataan pada jam 4.30 petang ini. Serentak dengan itu juga kita akan menghantar surat kepada Speaker DUN Kedah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah SPR telah membuat keputusan berhubung isu DUN Kota Siputeh-1/9/2009 - sumber Agenda Daily